Sambutan Jubli Perak Sultan_Azlan_Muhibbuddin_Shah_ibni_Almarhum_Sultan_Yussuff_Izzuddin_Shah

Baginda telah memperkenankan untuk diadakan sambutan jubli perak yang menandakan 25 tahun baginda memerintah negeri. Sambutan ini dimulakan pada 3 Februari 2009 dan mengikut pada keadaan ekonomi semasa, baginda mahukan sambutan ini dilakukan pada tahap yang sederhana.

Sambutan ini lebih menumpukan kepada kesyukuran, kepentingan ilmu dan pendidikan, pertalian rapat baginda dengan rakyat jelata, penghargaan kepada mereka yang telah berkhidmat kepada Sultan serta kepada mereka yang berkorban untuk Raja dan negara, penghargaan kepada semangat yang terjalin antara Ketua Negeri dan Kerajaan Pusat.

Program yang telah diperkenankan ialah kenduri kesyukuran dan bacaan tahlil di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 2 Februari dan istiadat perbarisan di Istana Iskandariah pada keesokannya. Satu majlis istiadat penganugerahan pingat khas Darjah Dato' Seri Azlanii (D.S.A.) kepada 25 orang penerima dan pembacaan watikah ikrar taat setia juga diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah. Pada tengah harinya, pelancaran setem peringatan Jubli Perak diadakan di Majlis Bandaraya Ipoh.

Pada 10 Februari pula, Sultan dijadualkan bakal menghadiri Program Bersama Rakyat di Batu Gajah, tempat baginda diputerakan dan menerima pendidikan awal. Sultan Azlan Shah juga akan menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah di Kolej Melayu Kuala Kangsar, sekolah lama baginda.

Santapan Diraja akan diadakan di Dewan Santapan, Istana Iskandariah pada 14 Februari. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Raja-raja Melayu, Yang DiPertua-Dipertua Negeri dan Sultan Brunei Darussalam telah dijemput ke Santapan Diraja tersebut. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga dijemput.

Demi tidak membebankan kerajaan, Sultan dengan murah hati akan mengeluarkan biaya keluarga diraja untuk sambutan kali ini. Baginda juga merupakan sultan keempat yang menyambut pemerintahan yang ke-25 tahun. Sebelum baginda, Paduka Seri Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua yang memerintah selama 28 tahun (1549-1577), Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Perak ke-11 yang memerintah selama 67 tahun (1653-1720) dan Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I, Sultan Perak ke-29 yang memerintah selama 29 tahun (1887-1916).

Rujukan

WikiPedia: Sultan_Azlan_Muhibbuddin_Shah_ibni_Almarhum_Sultan_Yussuff_Izzuddin_Shah http://www.bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id... http://www.sinarharian.com.my/semasa/sultan-azlan-... http://hids.arkib.gov.my/doc/2000/disember/09_12_1... http://hids.arkib.gov.my/doc/2005/april/26_04_1989... http://gsas.perak.gov.my http://data.bibliotheken.nl/id/thes/p086148796 http://isni.org/isni/0000000080904050 https://id.loc.gov/authorities/names/n88234845 https://d-nb.info/gnd/119141604 https://viaf.org/viaf/10649248